KUALA LUMPUR, 26 Ogos - Pengguna lebuh raya Plus berpeluang menikmati rebat
tol sebanyak 20 peratus apabila membayar tol menggunakan sistem elektronik pada
31 Ogos sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-56.
Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Plus Datuk Noorizah Abd
Hamid dalam kenyataan hari ini berkata rebat tol itu diberi kepada orang ramai
yang menggunakan kad PLUSMiles, Touch ‘n Go dan SmartTAG ketika membayar tol di
lebuh raya kendalian Plus.
“Ia merupakan satu daripada langkah Plus menyemarakkan sambutan kemerdekaan
akan datang. Selain itu, ia adalah antara strategi Plus menggalakkan orang ramai
beralih kepada sistem pembayaran secara elektronik yang lebih mudah dan
pantas.
“Rebat berkenaan boleh dituntut di pusat-pusat khidmat pelanggan Plus apabila
pengguna menambah nilai kad elektronik mereka bermula 16 September hingga 15
Disember ini,” katanya sambil memberitahu tuntutan rebat tol selepas tempoh itu
tidak akan diterima.
Beliau menggesa orang ramai supaya membayar tol secara elektronik sebagai
satu langkah untuk mempercepatkan transaksi tol dan membolehkan orang ramai
melalui plaza tol dengan selesa.
Rebat itu tidak akan diberi kepada pengguna yang membayar tol di Plaza Tol
Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan jambatan Pulau
Pinang, katanya.